Friday, September 4, 2009

Makam Moyang Salleh

Merujuk kepada nota A. Caldecott (1912), Moyang Salleh adalah Penghulu ke-3 bagi Jelebu, selepas To' Gombak (dari Pagarruyong) dan To' Mentunggang ketika di bawah pemerintahannyalah berlakunya pembunuhan Siamat, anak Orang Kaya Kechil Rembau. Siamat dibunuh dalam tahun 1957 atas arahan Sultan Johor, apabila Orang Kechil Rembau enggan mengahwinkan anaknya Sri Banun dengan baginda Sultan. Untuk mengelakkan nasib yang sama, Moyang Salleh bersama-sama 4 orang kuatnya, telah datang ke Johor untuk menunjukkan protes terhadap pembunuhan itu. Ketibaan mereka tidak dipedulikan, dan kerana itu mereka telah memutuskan untuk menunjukkan kehebatan mereka bagi menarik perhatian Sultan.Selama 7 hari 7 malam hujan turun tidak berhenti-henti namun kerana kuasa ajaib Moyang Salleh, tidak setitik pun dari air hujan itu gugur di atas tubuh kelima-lima sahabat ini. Selepas menyaksikan keajaiban itu, Sultan membenarkan mereka berkhemah di beranda istana, namun baginda masih tidak menghiraukan kewujudan mereka. Kelima-lima sahabat ini meneruskan demonstrasi kebolehan mereka, antaranya menggoyangkan pokok kelapa yang tinggi dan kukuh, menggoncang istana, dan mengeluarkan asap dan api dari mulut. Kagum dengan kebolehan mereka ini, Sultan akhirnya mula memberi perhatian kepada mereka. Hasil perbincangan, akhirnya Moyang Salleh diberikan hak terhadap Jelebu dan membawa pangkat Dato' Mandulika Menteri Akhir Zaman Sultan Jelebu. Secara tidak langsung, terpisahlah Jelebu daripada Johor. Peristiwa ini disebut dalam sejarah sebagai “pembebasan daripada kuasa pegangan Kesultanan Johor”. Sehingga hari ini, gelaran tersebut masih lagi digunakan. Undang Jelebu hari ini dikenali sebagai Dato' Mendika Menteri Akhir Zaman. Tempat persemadian insane hebat ini terletak di Tanah Perkuburan Kg. Bandar Tinggi, lebih kurang 4km dari pekan K. Klawang.

Lata Kijang

Air terjun tertinggi di Negeri Sembilan. Sesuai untuk aktiviti 4 x 4, perkhemahan, memancing atau kembara alam





Tempat Perkelahan

JERaM GADING
Lebih kurang 15 minit dari Pekan Kuala Klawang. terdapat chalet yang boleh disewa, tapak perkhemahan dan juga kawasan perkelahan keluarga












Asal Usul Masjid Kuala Dulang


Batin Lambung Setia Raja ialah seorang Pawang Besar yang berasal dari Pahang, Syah Alam Raja Sehari pula ialah seorang tukang tilik yang handal berasal dari Pagar Ruyung, Minangkabau. Keduanya sama-sama mengembara untuk membuka negeri. Setelah jauh mereka berjalan, secara kebetulan mereka bertemu di suatu tempat bernama Bukit Buaiyan. Keduanya berhenti di situ untuik berehat. Setelah bertegur sapa dan berkenalan masing-masing cuba menunjukkan kehandalan. Batin lambung Setia Raja membaca jampi menteranya dan sebaik sahaja jampi menteranya habis dibaca, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya hingga membasahi pakaian Syah Alam Raja Sehari. Syah Alam tersenyum lalu membuka ilmu tiliknya. Tiba-tiba hujan yang turun dengan lebatnya itu berhenti dan matahari memancar terik sehingga berupaya mengeringkan pakaiannya. " Nampaknya kita memiliki ilmu yang sama handalnya. Oleh sebab itu, hamba fikir lebih baik kita berdamai sahaja," kata Syah Raja Sehari.

" Benar kata tuan hamba. Tidak ada faedahnya kalau kita berkelahi. Lagipun tujuan kita datang ke sini untuk membuka negeri, bukannya untuk berperang," balas Batin Lambung Setia Raja pula.

" Hamba hanya boleh membuka negeri apabila terjumpa sedulang nasi. Begitulah pesan ayahanda hamba," kata Syah Alam Raja Sehari.

" Ayahanda hamba juga berpesan begitu. Hamba akan terus berjalan mencari tempat yang ada sedulang nasi," balas Batin lambung Setia Raja.

Mendengarkan itu, Syah Alam Raja Sehari berasa marah. Kedua-duanya mula bertengkar kerana masing-masing menyangka dipermainkan. Pertengkaran mereka semakin hebat sehingga hampir mencetuskan perkelahian. Tiba-tiba mereka terdengar suara perempuan sedang menyanyi menyebabkan pertengkaran itu terhenti. Mereka begitu terpesona mendengar kemerduan si penyanyi itu.

Batin lambung Setia bersuara, " Hamba fikir elok kita cari dari mana datangnya suara perempuan itu. Hantukah dia atau manusia?". Syah Alam Raja Sehari mengangguk-ngangguk seraya melirik senyuman.

Kemudian dia menokok. " kalau dia manusia kita jadikan isteri tapi kalau hantu atau jembalang biar hamba yang menghalaunya dari sini."

" Mari kita gunakan kepandaian masing-masing," cadang Batin lambung Setia Raja. " Biar hamba dulu," kata Syah Alam Raja Sehari lalu menggunakan ilmu tiliknya.

" Hmm…Perempuan itu berada dalam rumpun buluh di lembah sana."

" Ayuh mari kita sama-sama mencarinya," balas Batin Lambung Setia Raja. Batin Lambung Setia Raja dan Syah Alam Raja Sehari sama-sama turun ke lembah itu.

Di situ mereka dapati ada serumpun buluh dan suara perempuan itu memang datang dari dalam rumpun buluh itu.

" Baik kita tebang dahulu buluh-buluh itu. Mungkin perempuan itu sedang bersembunyi di dalamnya," cadang Syah Alam Raja Sehari.

" Elok juga cadangan tuan hamba itu," balas Batin Lambung Setia Raja. Lalu keduanya menebang pokok-pokok buluh itu. Sebaik sahaja habis buluh-buluh itu ditebang, mereka terlihat seorang perempuan sedang duduk bersila di tengah-tengah bekas rumpun buluh itu. Dan di hadapan perempuan itu terdapat sedulang nasi. Batin Lambung Setia Raja dan Syah Alam Raja Sehari berpandangan.

" Siapakah kamu wahai peremluan muda?. Adakah kamu ini manusia seperti kami atau dewa-dewa?" tanya Batin Lambung Setia Raja.

" Hamba adalah manusia seperti kamu. Ayahanda hamba yang menyuruh hamba datang ke sini membawa sedulang nasi," jawab perempuan muda itu. Kemudian perempuan itu menoleh lalu terlihatlah oleh mereka wajah perempuan itu yang cantik bak purnama sedang mengambang penuh.

Batin Lambung Setia Raja dan Syah Alam Raja Sehari sangat terpikat dengan kecantikan paras rupa perempuan itu. Sekali lagi mereka bertengkar kerana masing-masing ingin menjadikannya isteri.

" Hamba yang sepatutnya memiliki perempuan itu kerana hamba yang meniliknya. Kalau tidak hamba yang meniliknya kita tidak tahu di mana perempuan itu bersembunyi," tegas Syah Alam Raja Sehari.

‘ Tidak! Hambalah yang wajar memilikinya kerana ilmu pawang hambalah yang dapat menghalau hantu yang menjadi penunggu rumpun buluh ini," pintas Batin Lambung Setia Raja pula.

Masing-masing tidak mahu mengaku kalah lalu mula berkelahi. Melihat keadaan itu maka perempuan itupun berkata:

" Dengar dulu kata-kata hamba. Tuan berdua jangan berkelahi kerana sebenarnya kita ini adik-beradik. Kamu berdua tidak boleh mengahwini hamba," kata perempuan itu. Kedua dua lelaki itu tercengang dan saling berpandangan.

" Siapakah kamu ini?" tanya kedua-dua lelaki itu hampir serentak. " Nama beta Puteri Bongsu, Puteri raja berdarah putih, bertekak hitam dan berbulu roma songsang. Saudara beta ialah Datuk Hulubalang Misai Beruban dan Datuk Hitam," jawab perempuan itu.

Mendengar kata-kata perempuan itu barulah masing-masing sedar mereka adik beradik. Sebenarnya mereka bertiga telah dipisahkan oleh ayah mereka semasa mereka masih kecil. Abang yang tua dibawa ke Pagar Ruyung untuk menuntut ilmu pawang. Adiknya yang tengah dihantar ke Pahang untuk mempelajari ilmu tilik manakala adik perempuan yang bongsu disuruh menunggu kepulangan abang-abangnya dengan membawa sedulang nasi.

" Rupa-rupanya kita bertiga adik beradik. Oleh sebab itu kita tidak boleh berkahwin ataupun berkelahi. Kita sepatutnya bersyukur kerana pertemuan ini," kata Syah Alam Raja Sehari.

" Benar seperti kata kekanda kita yang tua itu. Kalau kita berkelahi kelak akan disesali oleh anak cucu kita," kata Puteri Bongsu.

" Jadi apa yang patut kita buat?" tanya Batin Lambung Setia Raja. " Kita buka negeri di sini dan buatkan tempat kediaman kita," kata Puteri Bongsu.

Lalu mereka bertiga pun membuka negeri dan membuat sebuah istana sebagai tempat kediaman. Tempat itu mereka namakan nasi sedulang. Tetapi akhirnya bertukar menjadi " Kuala Dulang". Tidak lama kemudian Puteri Bongsu berkahwin dengan seorang pemuda pilihannya dan mereka dikurniakan dua orang anak perempuan.

Mereka ialah Moyang Angut dan Moyang Angsa yang menjadi pengasas Jelebu. Semakin hari semakin ramai orang Minangkabau datang ke Kuala Dulang. Orang-orang Minangkabau itu kemudiannya telah mendirikan sebuah masjid di tepi Sungai Teriang dan masjid itu dinamakan " Masjid Kuala Dulang". Tidak jauh dari masjid itu terdapat sebuah lagi sungai bernama Sungai Lumut.

ASAL NAMA JELEBU DAN SEJARAHNYA

Ke Jelebak ke Jelebu
Tuai padi tiga serangkai
Siapa kena kemat Jelebu
Kalau tak mati badai mengasai.

Suatu masa dahulu pantun empat kerat itu amat popular di kalangan orang-orang tua di Negeri Sembilan khususnya di Jelebu kerana ia menggambarkan betapa pandainya orang Jelebu memikat sesiapa yang berkenan di hatinya sehingga orang yang kena pikat itu tidak boleh melupakanya hingga ke akhir hayat.Yang lucunya ada ibu bapa di luar kawasan Jelebu merasa takut kalau anak lelaki mereka pergi ke Jelebu kerana takut terkena "kemat Jelebu" tetapi kini pantun itu cuma menjadi senda gurauan anak-anak muda sahaja. Jelebu merupakan sebuah daerah di Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Pahang. Ia terdiri dari lapan mukim iaitu Kuala Klawang,Hulu Klawang Klawang,Hulu Teriang,Kenaboi,Pertang, Peradong, Teriang Hilir dan Gelam Lemi.Mengikut ceritanya, nama Jelebu berasal dari dua kisah yang diceritakan secara lisan sejak dari dahulu hingga ke hari ini. Kisah pertama, pada suatu hari, Tok Batin Jelbu iaitu ketua suku kaum asli yang mendiami kawasan sekitar Sungai Lumut, sedang berkerja di ladangnya. Setelah berasa penat dia mengajak isterinya berehat sambil melihat pokok labu yang mereka tanam tumbuh dengan suburnya.

Apabila hari menjelang petang isterinya mengajak Tok Jelbu pulang ke rumah. Tetapi kata Tok Jelbu dia hendak mandi dahulu di Sungai Lumut." Kau baliklah dulu untuk sediakan makan malam kita," pesan Tok Jelbu kepada isterinya." Baiklah, bang. Tapi elok kalau abang berhati-hati mandi di sungai sebab airnya dalam. Cepat balaik ke rumah, ye bang…" balas isterinya sambil berjalan pulang.Maka Tok batin Jelbu pun turun ke dalam Sungai Lumut untuk mandi dan membersihkan dirinya. Sedang dia asyik mandi tiba-tiba hujan turun dengan lebat diikuti dengan kilat sabung menyabung. Dan dengan tiba-tiba sahaja maka air Sungai Lumut itu pun pasang. Tok Batin Jelbu tidak sempat naik ke darat dan beliau dihanyutkan oleh air sungai yang deras itu.Isteri Tok Batin Jelbu berasa risau kerana suaminya masih belum pulang ke rumah. Tambahan pula ketika itu hujan turun dengan lebatnya. Sebaik sahaja hujan reda maka isteri Tok Batin Jelbu segera pergi ke Sungai Lumut untuk mencari suaminya. Namun setelah puas dicari dan dipanggil namanya, Tok Batin Jelbu seolah telah hilang ghaib secara tiba-tiba.Berita hilangnya Tok Batin Jelbu cepat merebak di kalangan orang-orang asli di kawasan tersebut dan mereka keluar beramai-ramai untuk mencari namun tidak berjaya ditemui. Akhirnya mereka yakin bahawa Tok Batin Jelbu mati lemas di Sungai Lumut dan mayatnya dibawa arus entah kemana. Dan Sebagai mengenang nama Tok Batin Jelbu maka tempat itu dinamakan Jelbu tetapi akhirnya bertukar menjadi Jelebu.
Kisah kedua pula ada kaitan dengan nama buah labu. Setelah Tok Batin Jelbu mati maka pokok labu yang ditanam di ladangnya tumbuh subur dan banyak mengeluarkan buah. Maka ramailah orang datang ke situ memungut buah labu tersebut. Mereka namakan tempat itu "Jalar Labu" tetapi akhirnya bertukar menjadi Jelebu.Sejarah pembukaan Jelebu selalu dikaitkan dengan kedatangan orang-orang Minangkabau. Namun pada mulanya Jelebu didiami oleh kaum asli Jakun dari Suku Biduanda. Mereka merupakan penduduk asal Jelebu dan suku Biduanda masih ada hingga ke hari ini.Kisah bermula apabila Batin Terjali iaitu anak Maharaja Alif yang memerintah kerajaan Pagar Ruyung Minangkabau, keluar mengembara untuk mencari pengalaman dan meluaskan pemerintahan ayah baginda. Setelah lama berjalan menyeberang laut dan sungai akhirnya Batin Terjali dan orang-orangnya sampai di Bukit Kundang Kundik di Jelebu. Kedatangan mereka disambut baik oleh orang-orang asli di kawasan tersebut.Semasa berada di Jelebu, Puteri Embong Sari iaitu isteri Batin Terjali melahirkan seorang anak lelaki lalu diberi nama Datok Niko Menteri Mangku Alam Raja Sehari.

Dan sebelum meninggalkan Jelebu untuk meneruskan pengembaraannya, Batin Terjali meninggalkan putera baginda kepada ketua suku orang asli Jelebu dengan pesanan bila puteranya sudah besar kelak hendaklah dijadikan penghulu Jelebu. Ketua orang asli itu bersetuju dan berjanji akan patuh dengan apa yang telah diperintahkan.Adapun Batin Terjali terus mengembara untuk membuka negeri dan di setiap tempat yang disinggahinya baginda akan meninggalkan seorang putera kepada ketua suku kaum asli di situ dengan pesanan bila putera itu sudah dewasa kelak hendaklah di jadikan penghulu di tempat itu.Kesemua Ketua kaum asli itu menepati janji mereka. Apabila putera Batin Terjali sudah besar maka dilantik menjadi Penghulu. Dengan ini wujudlah pemerintahan dari putera-putera Batin Terjali. Datok Niko Menteri Shah Mangku Alam Raja Sehari menjadi penghulu di Jelebu, Datok Kelana Putera Penghulu di Sungai Ujung dan Datok Johan Pahlawan Lela Perkasa di Johol. Hubungan antara mereka terus terjalin dan daerah itu akhirnya menjadi tumpuan orang-orang Minangkabau.

Walaupun begitu, dalam senarai daftar nama penghulu di Jelebu, orang pertama dicatat namanya sebagai penghulu Jelebu ialah Datok Gombak, kemudian Datok Mentunggang dan diikuti oleh Datok Moyang Salleh.Datok Moyang Salleh merupakan Datuk Undang Luak Jelebu yang pertama dengan memakai gelaran Datok Mendelika Menteri Akhirul Zaman Sultan Jelebu. Gelaran itu dikurniakan oleh Sultan Johor iaitu Sultan Abdul Jalil semasa berlakunya peristiwa memutus tali ke Johor. Walau bagaimana pun Datok Moyang Salleh tidak melantik dirinya sebagai Sultan Jelebu dan beliau hanya menjadi Undang Luak Jelebu sahaja.Pada mulanya Jelebu berada di bawah pemerintahan kerajaan Melayu Melaka tetapi apabila Sultan Melaka berpindah ke Johor maka taat setia orang Jelebu beralih ke Johor. Cuma setelah berlakunya peristiwa "MOYANG SALLEH MEMUTUS TALI KE JOHOR" barulah Jelebu bebas dari kekuasaan Sultan Johor.Jelebu juga terkenal sebagai kawasan lindungan hujan kerana letaknya di dataran tinggi dan jarang menerima hujan berbanding kawasan lain di Negeri Sembilan. Kerana itu tanahnya subur dan terkenal dengan pengeluaran buah-buah tempatan.Jelebu juga sering di kunjungi para pelancung dari dalam dan luar negeri kerana keunikannya. Untuk sampai ke Jelebu terpaksa mendaki Bukit Tangga yang mempunyai 48 keluk. Dan antara tempat yang menjadi tumpuan pelancung di Jelebu ialah Jeram Toi, Jeram Gading, Latar Kijang, Masjid Kuala Dulang dan Makam Datok Moyang Salleh.
KENALI DAERAH JELEBU © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute